Khalifah
Umar Bin Abdul Aziz adalah satu-satunya Khalifah Islam yang berjiwa besar dan
merupakan seorang Khalifah Bani Umaiyah yang paling agung. Watak dan
keperibadinya adalah berlainan dengan sebahagian besar khalifah-khalifah Bani
Umaiyah yang tegas dan zalim. Jika sebahagian besar daripada
khalifah-khalifah Bani Umaiyah banyak menghabiskan kekayaan negara untuk
kepentingan hawa nafsu mereka tetapi berlainan pula dengan keperibadian
Khalifah Umar yang agung dan suci ini. Beliau sesungguhnya adalah seorang
khalifah yang sangat bertaqwa terhadap Allah s.w.t. menyukai hidup sederhana
dan zuhud serta berusaha kuat untuk mengembalikan pemerintahan negara kembali
semula kepada dasar-dasar Islam yang murni. Justeru ketaqwaannya, baginda cuba
menegakkan kembali keadilan pemerintah sebagaimana yang pernah berlaku semasa
zaman nenek moyangnya Khalifah Umar Al Khattab r.a. Dan dalam banyak aspek,
baginda yang sangat sederhana serta menjauhi kesenangan itu pernah dikatakan
sebagai menyerupai kehidupan moyangnya Khalifah Umar Al Khattab yang
termasyhur itu.
Nama baginda yang sebenar ialah Abu Jaafar Umar Bin Abdul Aziz Bin Marwan Bin
Hakam, keturunan Umaiyali daripada bangsa Quraisy. Baginda dilahirkan di bandar
Hilwan dalam tahun 61 H, di mana ayahandanya berkhidmat sebagai gabenor di
tempat itu. Ibunya pula ialah Laila Binti A'sim Bin Umar Bin Al Khattab. Umar
Bin Abdul Aziz adalah seorang yang di anggap bertuah kerana dilahirkan dan
keluarga yang masyhur lagi di segani oleh rakyat jelata.
Semenjak kecilnya, baginda telah mula menghafaz AI-Qur'an kemudian beliau
dihantar oleh ayahnya Abdul Aziz ke Madinah untuk mempelajari ilmu
pengetahuan. Semasa di Madinah baginda telah berguru kepada tokoh-tokoh
ulama?, yang muktabar seperti Imam Malik Bin Anas, Urwah Bin Zubair, Abdullah
Bin Jaafar Bin Ali Bin Abu Talib, Yusuf Bin Abdullah dan Said Bin Musaiyab.
Setelah beberapa lama di Madinah, baginda kemudiannya dihantar pula ke Mesir
untuk mendalami lagi ilmu pengetahuannya. Apabila ayahnya meninggal dunia,
baginda dipanggil balik ke Damsyik oleh bapa saudaranya Abdul Malik Bin
Marwan yang menjadi Khalifah ketika itu dan kemudian dikahwinkan dengan
puterinya Fatimah Binti Abdul Malik.
Umar Bin Abdul Aziz adalah disayangi oleh bapa saudaranya Khalifah Abdul
Malik kerana baginda mempunyai peribadi yang luar biasa dan memiliki
sifat-sifat kepahlawanan yang diwarisi daripada datuknya Khalifah Umar Bin Al
Khattab yang terkenal sebagai Khalifah yang adil dan perkasa. Maka
berdasarkan faktor-faktor itulah baginda telah dilantik oleh Khalifah Al
Walid Bin Abdul Malik memegang jawatan gabenor di Madinah.
Umar Bin Abdul Aziz telah menaiki tahta Kerajaan Bani Umaiyah pada tahun 717
Masihi setelah kematian Khalifah Sulaiman Bin Abdul Malik atas wasiatnya.
Setelah baginda memegang teraju pemerintahan negara, baginda dapati bahawa
negara Islam di zaman itu tidak lebih dari sebuah negara feudal dan keadaan
umat Islam pula telah berada jauh daripada apa yang dituntut oleh agama Islam.
Baginda juga mendapati bahawa anak-anak buah keluarga Bani Umaiyah memiliki
istana-istana besar dan tanah yang luas. Mereka telah menggunakan harta
kerajaan secara bebas, menindas dan merampas hak rakyat jelata dengan
sewenang-wenangnya. Demikianlah keadaan negara dan umat Islam ketika baginda
menaiki tahta Kerajaan Umaiyah. Maka sebab itulah baginda dari sejak mula
memegang kekuasaan berikrar untuk mengembalikan semula keadilan dan
keiz?zahan ajaran-ajaran Islam kepada kehidupan umat Islam ketika itu
walaupun baginda terpaksa menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi. Baginda
ingin menjadikan pemerintahan negara sebagai sebuah daulah yang benar-benar
berdasarkan kehendak dan ajaran Islam yang suci.
Khalifah Umar sedar akan hakikat sebenarnya yang telah berlaku dalam
pemerintahan Bani Umaiyah yang menyebabkan rakyat merasa tidak puas hati
terhadap kerajaan. Ini adalah disebabkan adanya kezaliman dan dasar
tindas-menindas dari pihak kerajaan dan pegawai?-pegawainya terhadap rakyat
jelata. Baginda telah bekerja keras untuk membawa pelbagai perubahan dan
kebajikan terhadap rakyat jelata dalam kerangka mewujudkan sebuah
pemerintahan Islam yang sejati.
Usaha kebajikan yang dilakukan oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ialah
menghapuskan cacian terhadap Saiyidina Ali Bin Abu Talib serta keturunannya
sebagaimana yang lazim dilakukan oleh Khalifah-khalifah Umaiyah ketika
Khutbah Jumaat. Cacian ini diwajibkan kepada imam-imam atau khatib-khatib di
setiap masjid agar membacanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat. Amalan
mencerca Saiyidina Ali r.a. ini terus menerus diamalkan oleh
Khalifah-khalifah Umaiyah sehinggalah kepada zaman Khalifah Umar Bin Abdul
Aziz. Baginda telah memerintahkan dengan keras agar perbuatan yang terkutuk
itu dihapuskan sama sekali dan hendaklah digantikan tempat itu di dalam
khutbah Jumaat dengan ayat-ayat suci Al Quran.
Satu lagi pembaharuan yang dilakukan oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ialah
menghapuskan bayaran jizyah yang dikenakan kepada orang-orang bukan beragama
Islam yang tinggal di negara Islam dan jajahan takluknya. Tujuan baginda
berbuat demikian ialah untuk menggalakkan mereka supaya bertambah ramai
menganut agama Islam. Dan ini merupakan satu cara untuk meluaskan penyebaran
agama Islam.
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz adalah seorang Khalifah yang sangat warak dan
taqwa serta menyukai hidup zuhud dan menjauhi kesenangan. Corak kehidupannya
amatlah sederhana sekali dan bagindalah satu-satunya Khalifah Umaiyah yang
bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa mengira perbezaan darjat atau
keturunannya.
Langkah yang diaplikasikan untuk menjadikan kehidupan rakyat bertambah senang
baginda telah menaikkan gaji kaum buruh sehingga kenaikan tersebut hampir
menyamai setengah-setengah gaji para pegawai kerajaan. Demikianlah besarnya
perhatian dan kecintaan baginda terhadap golongan umat Islam yang miskin lagi
rendah taraf kehidupannya.
Bagaimanapun satu-satunya lagi jasa Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang
terbesar sekali ialah usahanya dalam memajukan pengajaran dan kepentingan
agama Islam di lingkungan umat dan kerajaannya yang luas itu. Baginda telah
memerintahkan Muhammad Bin Abu Bakar Al Hazni di Mekah agar mengumpulkan
serta menyusun hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu baginda
juga telah menghantar pendakwah-pendakwah Islam kepada raja-raja India, Turki
dan Barbar di Afrika Utara serta mengajak mereka itu memeluk agama Islam.
Sebagai seorang yang alim dan ahli dalam bidang perundangan Islam, beliau
sangat mengambil berat tentang kemajuan ilmu pengetahuan di zamannya. Semua
orang -orang Islam diperintahkan supaya berjemaah dan menggunakan
bangunan-bangunan masjid untuk mempelajari hukum Islam. Dalam rangka beliau
untuk menyebarkan ilmu pengetahuan, beliau telah menghantar 10 orang pakar
hukum Islam ke Afrika Utara untuk mengajar hal-ehwal agama. Islam di sana. Beliau juga
mengambil berat tentang penyebaran ilmu sains dan kedoktoran. Dalam bidang
ini beliau memerintahkan golongan cerdik pandai Islam supaya menterjemahkan
pelbagai cabang ilmu pengetahuan yang terkandung dalam kitab-kitab bahasa
Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab. Penterjemahan ini adalah
bertujuan supaya kitab-kitab tersebut dapat dipelajari oleh Umat Islam dan
menjadi bahan kajian golongan cerdik pandai Islam ketika itu.
Keadilan adalah satu-satunya dasar pemerintahan yang sangat diperhatikan oleh
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz . Dapat dikatakan bahawa di zamannyalah umat
Islam sekali lagi dapat menyaksikan ciri-ciri keadilan pemerintah Islam yang
terpancar dari ajaran-ajaran Islam yang murni. Semasa pemerintahannya
sekalian rakyat dilayan dan diadili dengan saksama tanpa terpengaruh oleh
lingkungan pangkat, darjat atau keluarga. Baginda telah melarang keras
hukuman bunuh dan potong tangan terhadap seseorang sekiranya pihak pendakwa
tidak dapat membuktikan keterangan-keterangan yang jelas dan semua
hukuman-hukuman tersebut Selain daripada itu harta rampasan perang tidak
boleh dibawa kembali atau dibahagi-bahagikan menurut sesuka hati. Majlis
Jemaah Negara pula tidak lagi dibenarkan dengan menggunakan harta kerajaan.
Demikianlah gambaran corak pemerintahan yang dijalankan oleh Khalifah agung
dari Bani Umaiyah ini yang wajar mendapat sanjungan umat serta ditauladani
oleh pemerintah-pemerintah Islam dewasa ini.
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, Khalifah sangat amanah, adil lagi menyukai
hidup zuhud telah meninggal dunia dalam tahun 101 Hijrah tatkala berusia 39
tahun. Walaupun zaman pemerintahannya itu sangat pendek sekali iaitu hanya 2
tahun 5 bulan sahaja namun baginda telah meninggalkan jasa-jasa yang sungguh
besar dan mengkagumkan umat di sepanjang zaman. Semoga Allah s.w.t. mencucuri
rahmat ke atas rohnya yang suci dan meredhai segala amalnya yang baik.
|
0 comments: