DIPOTONG TANGAN KERANA MEMBERI SEDEKAH
Dikisahkan bahwa semasa
berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang
fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu
kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."
Setelah fakir miskin itu
berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti
yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut
maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan
anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun
mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya
sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia
dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi
pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak
gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah
seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya
dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan
gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis
tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan
pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila
sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh
kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia
itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis
tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan
tangan kiri. Apabial suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata,
"Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh
itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."
Setelah si suami berkata
demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya
berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah
pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya
kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada
halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar
suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati
tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama
suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati
tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita
maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang
bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah
menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah
memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia
telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya
dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."
Sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang
mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu
rahmat."
0 comments: