Imam Syafi'i
Imam Syafie
bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin
Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin
Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi
Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah
kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi.
Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin
kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di
dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara
Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam
Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.
Ketika berumur 9 tahun beliau telah
hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’,
karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab
Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh
Imam Malik.
Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun
beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai
guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.
Ketika berumur 20 tahun beliau pergi
belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan
akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk
menuntut ilmu pengetahuan.
Tentang ketaatan beliau dalam beribadah
kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada
tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang
mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi
untuk tidur.
Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau
diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus
menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara
tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.
Ahli sejarah telah menceritakan bahawa
waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan
tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat
mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib.
Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.
Suatu kali datang surat baginda Sultan
dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan
supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting
adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka
akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie
juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam
senarai para pemimpin Syiah.
Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan
Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya.
Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab
Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama
dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan
darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.
Pada suatu malam pengadilan pun dimulai.
Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka
ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan
tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak
ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha’.
Imam Syafie dalam keadaan tenang
menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau
dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya
kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau
diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar
memperhatikan beliau.
“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda.
Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang
tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam
majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”
Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata
“Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda
sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam
Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:
“Dan Allah
telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan
amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa
di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka
berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah
diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka,
sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca
ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati
janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda
tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut.
Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham
Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”
“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik
bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan
menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk
membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.
Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya
itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat
ayat 6:
“Hai
orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu
berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah
kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal
atas perbuatanmu itu.”
“Ya Amirul
Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta
belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang
berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah
SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau
saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan
keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa
saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada
keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.
Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian
ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar
lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara
dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”
Demikianlah kehidupan Imam Syafie
sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari
pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya
ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan
itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.
0 comments: